Terapi Anak 10 : Mengawal Anak Mengamuk!
Seorang ibu hendak keluar bekerja tetapi dihalang oleh anak kecilnya yang berusia lingkungan tiga tahun. Anak kecil itu menangis sekuat hati dan memukul-mukul kereta ibunya. Ibunya terpaksa pergi kerja meskipun hati ibu mana yang tidak terusik melihat anak kecilnya meraung-raung. Penjaga anak kecil itu lekas-lekas menutup pagar sebaik kereta si ibu keluar. Si anak kecil semakin kuat raungannya sehinggakan jiran-jiran turut terganggu. Si ibu berasa gundah gulana setiap hari atau lebih tepat setiap kali hendak pergi bekerja. Ibunya menjadi tertekan kerana tidak dapat mengawal tagisan anaknya yang begitu kuat dan mengamuk tidak mengira tempat dan keadaan. Apabila hendak keluar ke kedai juga ibunya menjadi serba salah dan tidak senang hati kerana khuatir anaknya akan membuat perangai. Rasa malu itu sudah pasti kerana semua orang akan memandang sinis melihatkan anaknya yang sudah menangis sambil berguling di atas lantai.
Pernahkah anda melihat situasi seperti di atas?
Ianya dikenali sebagai 'tantrum' yang bermaksud mengamuk.
Apakah punca tantrum? Ianya disebabkan anak-anak kecil ini cuba untuk mengawal suasana dan mencapai kehendak dirinya. Tagisan dan perbuatan mengamuk ini bertujuan supaya ibu bapa dan penjaga lekas putus asa dan menurut sahaja kehendak mereka. Ada anak yang menangis apabila tidak mendapat alat permainan yang dilihat di pasaraya. Apabila mereka menangis, ibu bapa pun membelikan alat permainan itu kerana malu terhadap orang ramai yang ada di dalam kedai.
Punca kedua adalah kerana anak-anak dibiasakan menangis yang tidak berhenti. Contohnya seorang anak merengek kerana diusik oleh kakaknya. Si ibu mengabaikan sahaja rengekan anak kecil itu menyebabkan anak itu menangis tidak berhenti hampir setengah jam. Ini membuatkan anak tadi merasakan dirinya terbiar dan mahukan perhatian. Akhirnya setelah ibunya mulai lemas dengan tagisan yang tidak berhenti, si ibu akan terus datang dan memarahi kakaknya. Maka anak kecil tadi telah berjaya mendapatkan keinginannya supaya kakaknya dimarahi oleh ibunya.
Punca ketiga adalah kerana anak-anak tidak dipelihara oleh ibu bapa kandung. Ibu bapa mungkin sibuk bekerja dan menyerahkan anak-anak kepada penjaga nurseri atau orang gaji. Ini membuatkan ibu bapa tidak memahami atau mengenali diri anak-anak. Apabila anak-anak menangis dan ibu bapa tidak mengetahui apa sebenarnya yang dikehendaki anak-anak, maka anak-anak akan dibiarkan menangis. Apabila ibu bapa berusaha memujuk, mereka gagal dan akhirnya kebingungan.
Anak menangis adalah suatu cara mereka berkomunikasi. Mereka tidak mampu bercakap dan menerangkan isi hati mereka. Jadi mereka menangis sebagai tanda mahukan sesuatu atau tidak mahukan sesuatu.
Langkah untuk mengawal anak-anak yang suka mengamuk ini adalah dengan mengalihkan perhatian anak tadi yang sedang menangis. Contohnya ketika anak tadi sedang menangis, cuba berbual dengan orang lain mengenai sesuatu yang boleh menarik perhatiannya. Kita ambil kisah benar pengalaman ibu yang mengalami anak yang menangis ketika beliau hendak pergi bekerja. Penjaga anak itu sengaja berbual kuat dengan kakak kepada anak yang sedang mengamuk.
"Tengok rama-rama tu, cantik..."
"Kejarlah rama-rama tu.."
Tagisan anak yang sedang mengamuk itu semakin perlahan tetapi masih tersedu-sedu. Matanya sibuk mengekori rama-rama yang sedang terbang.
"Kejarlah rama-rama tu.." penjaga itu cuba berbual dengan anak yang mengamuk tadi.
"Rama-rama bodoh!" Marah si anak. Penjaga itu mengabaikan sahaja si kecil yang masih tidak berpuas hati. Penjaga itu dan kakaknya mengejar rama-rama tersebut. Tidak lama kemudian tagisan anak yang mengamuk itu berhenti dan yang tinggal cuma tersedu-sedu.
Dalam kisah di atas, penjaga tadi cuba mengalih perhatian anak yang sedang mengamuk. Ini adalah lebih baik berbanding menuruti sahaja kehendak anak tadi.
Langkah kedua adalah membentuk disiplin anak-anak. Sebelum membawa anak-anak keluar daripada kenderaan untuk ke rumah saudara mara, berikan amaran awal kepada anak-anak supaya tidak menangis, menjerit dan patuh pada arahan sewaktu di sana. Sekiranya anak-anak melanggar peraturan, mereka akan dihukum. Amaran ini dikeluarkan sebelum anak-anak membuat perangai dan emosinya masih belum terganggu. Sekiranya ibu bapa ingin menjanjikan sesuatu kepada anak-anak sebagai ganjaran, pastikan ianya ditunaikan. Nabi Muhammad saw melarang ibu bapa membohongi dan tidak menepati janji kepada anak-anak. Sekiranya ibu bapa sendiri mengkhianati janji mereka kepada anak-anak, ianya akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa.
Langkah ketiga adalah jangan dibiasakan anak-anak merengek berpanjangan. Apabila mereka menangis, segeralah memeriksa apakah punca mereka menangis. Mereka menangis melambangkan hati mereka yang sakit atau tubuh mereka yang sakit. Jadi jangan tunggu hingga mereka sudah meraung di luar kawalan barulah kita pergi memeriksa keadaan.
Langkah keempat adalah memastikan orang yang menjaga anak-anak kita dengan ciri-ciri di atas iaitu tahu serba sedikit tentang psikologi. Kita mungkin mengamalkan psikologi dalam mendekati anak-anak, tetapi bagaimana pula penjaga mereka? Sedangkan hampir 5 hari seminggu mereka dijaga oleh orang gaji atau nurseri. Acuan yang bagaimanakah akan membentuk peribadi anak-anak kita?
Paling penting ibu bapa haruslah beringat untuk banyakkan bersabar dan beristigfarlah berulang kali apabila anak mula meraung. Jangan cepat hilang sabar lalu mengangkat tangan memukul anak yang belum mengerti. Khuatir kita tersalah hukum, anak itu akan cacat seumur hidup. Ingatlah, setiap anak itu akan membesar. Sampai suatu masa nanti, mereka tidak akan lagi menangis. Inshaallah.
-Khalilah HTBTP-
Comments
Post a Comment