Terapi Anak 11 : Mengawal Anak Ketagihan 'Computer Game'.
Apabila seorang ibu mengadukan permasalahan anak remajanya yang asyik dengan permainan 'computer game' sehingga mengabaikan pelajaran, hilang selera makan, tidak bergaul dengan orang lain dan mengamuk apabila dihalang bermain 'computer game', maka saya tahu bahawa anak beliau sudah terkena penyakit ketagihan 'computer game'. Setelah anak ini berada di fasa kronik barulah ibu bapa menyedari betapa berhantunya 'computer game' tersebut. Anak-anak yang ketagihan permainan 'computer game' ini akan sanggup menghabiskan siang dan malam bersendirian di dalam bilik. Mereka tidak kisah sekiranya hari cuti sekolah terperap di dalam rumah sahaja selagi ada komputer bersama. Mereka tidak berminat untuk pergi bersosial dan bermain di luar rumah kerana merasakan dunianya sudah lengkap bersama komputer mereka. Apabila saudara mara datang ke rumah, mereka lebih suka berada di dalam bilik berbanding beramah mesra dengan keluarga. Paling menyedihkan adalah apabila kita tidak boleh berbual dengan mereka kerana seolah-olah mereka sedang khayal di dalam dunia asing yang sangat sibuk dengan impian dan harapan. Malangnya impian dan harapan itu adalah palsu dan sia-sia belaka! Sebelum kita mengetahui apakah cara-cara membantu memulihkan anak-anak ini, kita perlu mengenal pasti punca-punca penyakit ini.
Punca yang pertama adalah cara pendidikan ibu bapa yang mendedahkan anak-anak kepada permainan ini. Tujuan ibu bapa mengizinkan anak-anak bermain komputer kerana mahu mengelakkan anak-anak terjebak dengan masalah sosial seperti salah pilih kawan dan khuatir keselamatan terancam apabila bermain di luar. Punca yang kedua adalah kerana pengaruh persekitaran yang menganggap suatu kebiasaan untuk mengizinkan anak-anak bermain komputer. Perisian permainan percuma seperti 'Angry Bird' dan permainan di facebook menyebabkan ibu bapa tidak berfikir panjang sebelum memperkenalkan permainan tersebut kepada anak-anak. Terdapat juga ibu bapa yang memang menggalakkan anak-anaknya bermainan permainan tersebut supaya tidak ketinggalan seperti anak orang lain.
Punca yang ketiga adalah kerana kesibukan ibu bapa bekerja menyebabkan tiada masa untuk anak-anak. Prinsip ibu bapa yang menganggap asalkan anak tidak bising dan tidak luka sudah bagus inilah yang mendorong anak-anak melekat di komputer. Ibu bapa kebanyakkan tidak sedar dan tidak mengetahui betapa permainan komputer ini sangat mempengaruhi pembentukan peribadi anak-anak. Apabila anak-anak ini semakin membesar dan menunjukkan tanda-tanda negatif pada pelajaran di sekolah, barulah ibu bapa kelam kabut mahu mengambil tindakan.
Punca keempat adalah kerana anak-anak yang mengalami masalah cuba untuk melarikan diri daripada kenyataan hidup. Mereka mungkin dibuli atau sering disakiti dalam alam nyata. Satu-satunya cara untuk melupakan masalah tersebut adalah dengan terjun ke alam fantasi permainan komputer.
Jadi bagaimanakah harus kita lakukan untuk membantu memulihkan anak-anak ini?
Langkah pertama yang boleh diambil adalah dengan mengurangkan masa bermain komputer. Adalah amat menyeksakan sekiranya ibu bapa menghentikan terus permainan tersebut. Ibarat orang yang ketagihan dadah, mereka boleh mati sekiranya bekalan dadah diberhentikan mendadak. Bagaimanakah ingin mengurangkan masa bermain komputer ini? Ibu bapa boleh mengajak anak-anak bermain di luar rumah, pergi ke taman permainan, makan bersama, menonton televisyen bersama atau apa-apa sahaja aktiviti bersama. Ini memerlukan pengorbanan yang sangat besar memandangkan majoriti ibu bapa hari ini sibuk bekerja. Kita perlu ingat bahawa anak-anak merasakan masa berkualiti dalam hidup mereka adalah ketika bermain komputer. Jadi kita perlu menggantikan masa tersebut dengan sesuatu yang menarik sehingga jika boleh anak-anak akan menggapnya sebagai masa yang berkualiti.
Langkah kedua yang boleh diambil adalah dengan membuat jadual harian yang dikuatkuasakan. Tiada gunanya jika jadual yang dibuat itu sekadar perhiasan di dinding. Ini memerlukan ketegasan ibu bapa yang bersungguh-sungguh.
Langkah ketiga adalah banyakkan berbual mesra dengan anak-anak. Jadikan supaya diri kita sebagai ibu bapa adalah tempat yang paling selamat bagi anak-anak. Apabila anak-anak ada masalah, kita perlu ada di sisi mereka untuk membantu. Komputer tidak sepatutnya mengambil alih peranan ibu bapa. Jangan sehingga kita kehilangan anak kita kerana kecuaian kita sendiri.
China dan Korea sedang mengalami masalah kanak-kanak ketagihan permainan komputer yang serius sehingga psikatri-psikatri dilatih untuk membantu anak-anak ini. Negara kita juga tidak terkecuali memandangkan kini hampir setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebiji komputer.
Cegahlah sebelum parah, jangan menyesal kemudian hari. -Khalilah HTBTP-
Comments
Post a Comment