Terapi Anak 5 : Memahami Sikap Remaja Yang 'Moody'
Memang sukar untuk cuba memahami perangai remaja yang berubah-ubah mengikut angin. Adakalanya mereka sangat gembira, tiba-tiba sahaja boleh menjadi pemarah, kemudian menjadi sangat pemalas dan pelbagai lagi. Hari ini mereka sukakan makanan lain, pakaian lain, rancangan TV lain, tetapi hari esok berlainan pula. Ibu bapa berusaha untuk mengambil hati anak-anak namun lansung tidak diendahkan.
Mengapakah perkara ini berlaku?. Perkara ini berlaku kerana remaja sedang mengalami fasa perubahan dalaman yang melibatkan hormon-hormon menuju alam dewasa. Dalam masa yang sama mereka juga mengalami fasa perubahan luaran yang melibatkan tekanan orang sekeliling termasuklah ibu bapa, rakan sebaya dan guru-guru yang bertambah. Mereka menerima tanggungjawab yang jauh lebih berat berbanding zaman kanak-kanak.
Pada zaman remaja, mereka sudah mulai ada ego dan tidak mahu dipandang rendah oleh sekeliling. Ini menyebabkan mereka sentiasa cuba bersaing sesama rakan untuk menjadi yang terbaik dalam apa sahaja perkara. Mereka tidak mahu dianggap ketinggalan zaman dan cuba untuk memiliki apa sahaja yang rakan-rakan mereka miliki seperti telefon bimbit, laptop, teman lelaki atau wanita, kenderaan sendiri dan kebebasan bersuara.
Pada usia remaja, mereka sudah mula merasakan diri mereka cukup dewasa sedangkan pemikiran mereka masih belum matang sepenuhnya. Mereka cuba untuk mendapatkan kekuasaan sepenuhnya dan kebebasan dalam menentukan hala tuju diri. Ini mendorong mereka untuk sering berdebat dengan ibu bapa. Ada sebilangan ibu bapa yang menganggap perbuatan ini sebagai kurang ajar dan memberi hukuman kepada anak-anak supaya jangan mempersoalkan tindakan atau perintah ibu bapa. Teknik pendidikan kuku besi ini sudah lapuk dan tidak sesuai lagi untuk digunakan pada zaman ini terutamanya terhadap remaja.
Persoalannya, bagaimanakah untuk berdepan dengan masalah begini?
Pertama sekali, sekiranya anak-anak suka untuk berdebat atau menyuarakan pendapat, bersyukurlah. Anak-anak yang bersedia meluahkan isi hati dan bercakap itu adalah jauh lebih baik daripada anak-anak yang lansung tidak mahu berbincang atau bercakap dengan ibu bapa mereka. Sangat ramai anak-anak remaja yang cuba melarikan diri daripada bertembung dengan ibu bapa sekalipun mereka tinggal serumah. Remaja yang begini kebiasaannya lebih selesa berkongsi cerita dengan rakan-rakan. Ini merupakan suatu cabaran besar kepada ibu bapa kerana ia merupakan tanda-tanda bahawa anda tidak dipercayai oleh anak-anak anda. Ibu bapa juga menjadi tidak kenal dengan peribadi anak-anak yang sebenar, lalu menimbulkan jarak di antara keluarga. Kesan besar faktor jarak ini akan menghasilkan anak-anak yang tidak peduli terhadap ibu bapa mereka apabila sudah dewasa. Jadi jangan marah atau halang anak-anak daripada menyuarakan pendapat mereka.
Kedua, sebagai ibu bapa yang juga manusia biasa perlulah menerima diri anak-anak yang pasti akan berubah. Kalau dahulu ibu bapa sangat gembira apabila anak-anak berlari menyambut di depan pintu, ketawa gembira apabila diberi permainan baru dan menyanyi bersama apabila gembira, kini perlulah menerima keadaan bahawa segalanya sudah berubah. Mereka masih anak-anak anda dan mereka masih menyayangi anda. Suatu masa dahulu semasa mereka masih kecil, mereka merasakan anda adalah segala-galanya untuk mereka. Tetapi setelah mereka masuk ke sekolah, mereka mulai mengenali insan-insan lain yang kemungkinan mendapat tempat yang lebih istimewa di hati mereka berbanding anda. Insan-insan ini mungkin adalah kawan-kawan mereka, teman lelaki atau perempuan atau guru-guru mereka. Sebagai ibu bapa, kita tidak dapat menghalang perubahan ini daripada berlaku. Jadi, apa yang kita boleh lakukan adalah memberi ruang kepada anak-anak untuk bersosial dalam masyarakatnya dan dalam masa yang sama banyakkan aktiviti kekeluargaan bersama. Contohnya makan bersama, pergi bercuti dan menonton televisyen bersama.
Ketiga, sejarah ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk diri anak-anak. Siapakah ibu bapanya yang menjadi acuan kepada peribadi anak-anak. Sebagaimana ibu dan bapanya pernah mengasari datuk dan neneknya dahulu, maka tidaklah mustahil anak-anak juga untuk mengasari ibu bapanya pula. Mendidik anak-anak bukanlah kerja sehari. Ianya juga bukanlah bererti sejarah akan berulang dua kali. Namun sebagai orang Islam, kita perlu sedar tanggungjawab kita terhadap ibu bapa kita. Jika kita inginkan anak-anak menjaga hati kita, maka kita perlulah menjaga hati ibu dan bapa kita.
Keempat, jiwa anak-anak remaja sangat berlainan daripada jiwa kanak-kanak. Remaja mahukan kasih sayang dan belaian yang lebih daripada kanak-kanak. Remaja sudah mulai belajar untuk menyukai manusia lain dan mencuba untuk memilikinya. Pada usia inilah kebanyakkan remaja terjerat dalam jerat percintaan yang tidak nampak masa depannya. Apabila ibu bapa menghalang, mereka memberi alasan yang pelbagai seperti kesunyian, kebosanan dan tidak boleh hidup tanpa kekasih. Naluri ingin mencintai dan dicintai ini adalah normal, maka salurkan naluri ini di tempat yang betul. Hanya agama Islam sahaja yang dapat memandu perasaan seperti ini di jalan yang benar. Zaman remaja cuma sekali, bertuahlah remaja yang menghabiskan zaman remajanya dengan sibuk mendalami ilmu agama dan mendalami ilmu dunia untuk memartabatkan agama. Agama yang diberikan kepada anak-anak tidak sepatutnya setakat mengajar membaca Al-Quran dan solat lima waktu. Agama sepatutnya dihayati dalam kehidupan seharian. Ibu bapa perlu mengaitkan setiap perkara dan persoalan kehidupan anak-anak dengan agama. Namun hari ini kita dapat melihat ibu bapa sendiri yang gagal mengenal agama, lalu bagaimana dapat mengenalkan anak-anak kepada agama. Agama yang sepatutnya menjadi ubat kepada permasalahan masyarakat cuma tinggal pada nama sahaja.
Akhir sekali, dalam berjuang mendidik anak-anak semestinya dijanjikan cabaran. Ingatlah bahawa segala penat dan lelah itulah yang Allah akan ganjari dengan pahala. Kita sebagai manusia cuma berusaha untuk melakukan yang terbaik. Sama ada kita berjaya atau gagal, itu adalah terpulang kepada Allah. Semoga Allah mengurniakan kita zuriat yang soleh dan menjadi penyejuk mata kita di dunia dan akhirat. Insya Allah!.
Jazakallah atas ilmu =)
ReplyDelete