Terapi Anak 6 : Memahami Anak Yang Sukar Memahami Teguran.



Terapi Anak 6 : Memahami Anak Yang Sukar Memahami Teguran.

Kebanyakkan ibu bapa sangat runsing kerana anak-anak tidak memahami teguran yang diberikan. Apabila dilarang anak-anak daripada melakukan sesuatu, ternyata ianya seolah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Apa yang dicakapkan oleh ibu bapanya lansung tidak dipedulikan. Akibatnya hati ibu bapa menjadi sakit setiap kali mengetahui bahawa segala larangan dan pesanan disia-siakan. Persoalannya mengapakah sukar sangat remaja khususnya untuk memahami teguran ibu bapa? Contohnya ibu bapa melarang anak-anak daripada ponteng kelas tuisyen kerana mahu anak-anaknya menggunakan masa belajar dengan sebaik-baiknya. Tetapi nasihat ibu bapa tersebut seolah diabaikan manakala anak-anak masih tetap berdegil dengan perbuatan lama. Contoh lain adalah apabila ibu bapa melarang anak-anak daripada pergi ke 'cyber cafe' atau berkawan dengan kawan yang tertentu. Tetapi larangan itu hanya berkesan sehari dua sahaja seolah-olah anak-anak tersebut tidak mampu memahami bahawa nasihat yang diberikan adalah untuk kebaikan mereka. Mereka seolah merasakan larangan-larangan ibu bapa seolah sekatan yang menyeksa dan mendera mereka. Apabila berpeluang, mereka akan kembali melakukannya semula.

Antara sebab mereka bertindak sedemikian adalah kerana mereka mungkin memang tidak faham. Walaupun ibu bapa mereka sudah menerangkan panjang lebar namun ianya tidak mampu difahami oleh mereka.

Mengapakah ini berlaku? Tidakkah mereka boleh berfikir seperti orang dewasa berfikir?
Jawapannya tentulah tidak!

Anak-anak dan ibu bapa adalah dua tahap yang sangat berbeza. Cara ibu bapa dan anak-anak berfikir sangat berbeza kerana tahap kematangan adalah berbeza. Jadi mustahil dan tidak adil untuk kita membandingkan anak-anak daripada diri kita. Masih juga tidak adil jika kita hendak membandingkan anak kita yang berusia belasan tahun dengan diri kita semasa berusia belasan tahun dahulu. Kita dan anak-anak kita hidup di dalam dunia yang berbeza. Saya masih ingat semasa zaman saya bersekolah, hanya pelajar yang sangat kaya sahaja yang membawa telefon bimbit ke sekolah. Tetapi hari ini majoriti pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah sebagai satu keperluan. Ketika saya bersekolah rendah dahulu, rancangan televisyen cuma ada 4 hingga ke 5 siaran sahaja. Tetapi hari ini, rata-rata semua rumah sudah pasang 'Astro'.
Jadi jangan dibandingkan anak-anak hari ini dengan zaman kita yang dahulu.

Saya pernah mendengar perbualan seorang ibu bapa yang memarahi anaknya di hadapan saya dan mereka ada menyebut perkataan 'diskaun denda' kepada si anak yang memberi maksud mahu meringankan hukuman. Malangnya mereka tidak tahu bahawa anak mereka tidak mengetahui apa itu diskaun! Saya tahu anak mereka tidak tahu kerana saya guru tuisyen anaknya dan anaknya tidak boleh menjawab soalan berkaitan perkataan 'diskaun'! Mungkin bagi ibu bapanya, perkataan-perkataan yang digunakan adalah perbualan harian, namun adakah itu bahasa yang anak mereka gunakan? Apabila kita ingin bercakap dengan anak-anak, gunakan bahasa mereka supaya mereka dapat memahaminya. Jauhi penggunaan sindirian kerana ianya menyebabkan anak-anak keliru dan boleh mencetuskan salah faham yang lebih kritikal.

 -Khalilah HTBTP-

Comments