Terapi Anak 9 : Teknik Melatih Anak Menjawab Soalan Peperiksaan.



Terapi Anak 9 : Teknik Melatih Anak Menjawab Soalan Peperiksaan.

Semua ibu bapa mahukan anak-anak yang sempurna, cemerlang akademik dan sahsiah. Namun bukan semua anak mampu cemerlang terutamanya akademik. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pembelajaran yang terbaik kepada anak supaya akademiknya cemerlang. Ini memungkin masa depan yang lebih cerah kepada anak-anak. Namun, setelah ibu bapa berhabisan masa, tenaga dan wang adakah itu bermakna anak anda akan berubah menjadi pelajar paling cemerlang?

Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak yang kurang cemerlang akademik ini mempunyai rasa rendah diri dan sentiasa dalam keadaan takut apabila belajar. Apabila mereka dibimbing untuk belajar, mereka tidak boleh terus sahaja dipaksa belajar. Proses ini begitu sukar untuk mereka. Kita tidak boleh memaksa budak yang mendapat gred D untuk duduk di meja dan siapkan 40 soalan secara mendadak. Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak yang sebegini tidak akan mampu membuat soalan-soalan tersebut kerana mereka tidak tahu atau terlupa langkah pertama untuk menjawab soalan. Jadi mereka akhirnya menghabiskan masa dengan berulang kali membaca soalan tanpa mengerjakannya. Di dalam fikiran mereka seolah buntu tidak tahu bagaimana hendak bermula kerana langkah pertama pun sudah terlupa. Mengapakah langkah pertama juga sudah lupa? Kerana mereka berada dalam keadaan ketakutan. Pengalaman silam berada dalam dewan peperiksaan bersama kertas yang akan dihantar selepas masa peperiksaan tamat, telah mencipta perasaan fobia di dalam jiwa mereka.

Menyedari hakikat ini, tindakan yang perlu diambil oleh ibu bapa dan guru-guru tuisyen yang ingin membantu anak-anak adalah dengan menghilangkan perasaan fobia tersebut. Caranya adalah dengan melakukan simulasi peperiksaan di rumah dengan jam di hadapan mereka. Jangan tinggalkan anak-anak bersama jam sahaja! Tunggu di sebelah mereka. Pengalaman lepas mengajar saya bahawa apabila saya duduk di sebelah mereka dalam keadaan diam dan berbalas senyuman sahaja dengan pelajar akan memudahkan dan melancarkan menjawab soalan. Perbuatan ini perlu diulang beberapa kali sehingga markah anak-anak stabil. Setelah itu barulah anak-anak ditinggalkan menjawab soalan sendirian bersama jam yang sudah di set masa. Tujuan duduk di sebelah mereka pada permulaan tadi adalah untuk menghilangkan rasa gemuruh dalam diri anak-anak dan seterusnya mencipta rasa selamat dalam diri mereka.

Semoga usaha dan kesabaran kita ini dapat membantu anak-anak ini mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan mereka.

-Khalilah HTBTP-

Comments